Wednesday, February 2, 2011

LAPANG DALAM HIDUP

Adakah kehidupan kita kini semakin sempit atau lapang? Apakah saban hari kita merasakan semakin selesa dan gembira dengan apa yg kita lalui, atau sebaliknya semakin rasa terseksa dan tertekan dengan kehidupan seharian?
Kehidupan ini terlalu anjal sifatnya. Seketika kita boleh menarik nafas lega, berasa selesa dan lapang dada, tenang fikiran dan panjang angan-angan. Namun ada ketikanya kita mungkin berasa sesak nafas, sempit dada, terbelenggu fikiran dek pelbagai masalah dan kabur jalan yg bakal ditempuhi.


Mari kita sama-sama merenung doa yg sering diungkapkan ketika kita mengerjakan umrah atau yg diajarkan apabila meneguk air zam-zam. Mafhum doa tersebut berbunyi : Ya Allah, kami memohon daripadaMu ilmu yg bermanfaat, rezeki yg luas dan lapang serta kesembuhan daripada segala penyakit


Tiga perkara ini jika dimiliki oleh seseorang, akan memberikan suatu perasaan kelapangan dalam kehidupan. Betapa hidup ini perlu diasaskan atas dasar keilmuan yg bermanfaat. Ilmu akan menjadi penyuluh kehidupan, memimpin kita. ke arah kebenaran dan menyelamatkan kita daripada tersungkur ke jurang yg sempit.


Kehidupan ini perlu dirancang agar sentiasa memiliki kelapangan yg sejati. Jadikan ilmu dan majlis ilmu sebagai keutamaan dalam jadual kehidupan kita. Ilmu itu sifatnya tidak pernah habis, meskipun dituntut berpuluh malah beratus tahun, kerana kekuasaan ilmu Allah s.w.t tidak terjangkau oleh kita yg lemah. 
Begitu juga kita perlu merencanakan usaha untuk mencari rezeki yg halal dan baik sebagai bekal kehidupan di dunia dan akhirat. Rezeki yg halal dan barakah lebih membahagiakan walaupun sedikit, berbanding rezeki yg melimpah-ruah tetapi kering dari keberkatan Ilahi. Jadi, infaqlah sebahagian daripada rezeki kita di jalan Allah agar mendapat keberkatan hingga ke akhirat. 
Dan akhirnya, hargailah kesihatan yg dianugerahkan Allah s.w.t kepada kita kerana jasad manusia ini tiada ''alat ganti'' yg dapat menggantikannya apabila telah rosak. Mencegah kerosakan dan penyakit adalah lebih utama, daripada berhempas pulas mencari ubat dan penawar kepada penyakit yg menimpa kita.




Kelapangan hidup adalah dambaan setiap manusia. Dan sebagai hamba, kita perlu pasrah atas kurniaan Allah s.w.t kepada kita. Kelapangan hidup ialah kurniaan Allah s.w.t dan sebagai hambaNya, kita perlu memohon setulus doa, agar dikurniakan jalan-jalan kelapangan hidup itu. Ilmu, rezeki dan sihat, adalah tiga faktor kelapangan hidup. Apabila memohon, mohonkanlah kepada Allah s.w.t. Jika memohon, mohonlah kelapangan ilmu, rezeki dan kesihatan. Semoga Allah s.w.t melapangkan kehidupan kita semua. InsyaAllah... 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...