Thursday, January 13, 2011

KALIMAH PENGUSIR MAKSIAT

Seorang ulama terkemuka, Imam Sahl bin Abdullah at-Tastari mencerita kisah dirinya. ''Ketika berumur tiga tahun, aku mengikut bapa saudaraku iaitu Muhammad bin Sanwai melakukan qiamullail. Aku melihat caranya bersolat lalu aku menirunya''.
   Suatu hari, bapa saudaraku berkata kepadaku, ''Adakah kau mengingati Allah, yang menciptakamu? ''
Aku bertanya padanya, ''Bagaimanakah caranya aku mengingatiNya''.

Beliau menjawab, ''Anakku! Jika kau berganti pakaian dan ketika hendak tidur, katakanlah tiga kali dalam hatimu, tanpa mengerakkan lidahmu. ''Allahuma'i... Allahu naadhari...Allahu syaahidi ! ( ertinya : Allah bersamaku...Allah melihatku...Allah menyaksikan aku ! ).''
   Aku menghafal kalimah itu, mengamalkan pada setiap malam. Kemudian aku menceritakan hal ini kepada bapa saudaraku. Bapa saudaraku berkata, ''Mulai sekarang, ucapkan zikir itu sepuluh kali setiap malam.''
   Aku mengamalkannya, aku fahami maknanya dan aku merasakan ada kenikmatan dalam hatiku. Fikiran aku merasa tenang. Aku merasa sentiasa bersama Allah s.w.t.


  
 Setahun kemudian, bapa saudaraku berkata, ''Jagalah apa yang ku ajarkan padamu, dan amalkan sehingga mati. Zikir itu akan bermanfaat bagimu di dunia dan di akhirat.''
   Kalimat Allahu ma'i. Allahu naadhiri. Allahu syaahidi ! sangat terkenal di kalangan ulama arif billah. Bahkan, Syeikh al-azhar, Imam Abdul Halim Mahmud, yang juga di kenali sebagai ulama arif billah menganjurkan kepada kaum muslim supaya membaca kalimat ini di dalam hati. Maknanya yang dasyat, jika dihayati dengan bersungguh-sungguh, akan mendatangkan rasa ma'iyatullah ( selalu berasa disertai, dilihat dan disaksikan oleh Allah s.w.t )
   Akhirnya, hal ini akan menimbulkan rasa takwa yang tinggi kepada Allah s.w.t. Kalau sudah begitu, adakah orang yang berasa selalu disertai, dilihat dan disaksikan Allah akan melakukan maksiat ? Fikir-fikirkan serta amalkan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...