Sunday, April 3, 2011

LEMBUTKAN HATI YANG KERAS

Mereka yg menziarahi orang sakit di anjurkan mendoakan untuk kesembuhan orang yang dilawati. Begitu juga orang sedang sakit itu hendaklah memohon doa kepada Allah SWT untuk kesembuhan diri nya. Hendaklah bertawakal kepada Allah SWT yang mendatangkan pelbagai ubat ke dunia ini, untuk penawar menyembuhkan penyakit. Nabi s.a.w memberitahu ''setiap penyakit ada ubatnya kecuali tua dan mati''.


Antara hak sesama muslim ialah apabila di kalangan mereka mati, hendaklah iringi jenazah ke kubur bagi persemadian. Setelah sembahyang maiyit(jenazah) hendaklah bersama iring jenazah ke makam. Selain dari tanggungjawab kemasyarakatan islam, ia juga banyak pengajaran yang diperolehi jiwa, terutama ketika jenazah dimasukkan ke liang lahad dan dikambus tanah, untuk bersemadi bersendirian buat selamanya. Akan tercetus rasa pilu dan insaf di hati melihat linangan airmata kaum keluarganya, sedih mengiringi perjalanan terakhir seorang hamba Allah. 


Pengalaman tersebut akan menginsafkan hati, mengingatkan diri kepada kekuasaan Tuhan serta ingat akan hari akhirat. Menyaksikan mayat orang baik atau sebaliknya, semuanya akan dikambus dalam tanah, akan mengingatkan kita akan cepat atau lambat pasti akan kesana jua.
Islam mengajarkan kita agar berdoa setiap kali lalu berhampiran tanah perkuburan  dengan mnegucapkan ''Salam sejahtera terhadap ahli kubur sekalian, sesungguhnya kami insyaallah bakal mengikuti jejak kalian juga.''


Ucapan doa terhadap penghuni kubur serta mengingati bagaimana jenazah disemadikan di liang lahad, banyak manfaat yang diperolehi jika kita iringi jenazah. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: ''Sesiapa yang iringi jenazah ke tanah perkuburan, baginya pahala satu qirot, jika tunggu sejenak hingga mayat selesai hingga mayat selesai disemadikan, untuknya akan diberi pahala dua qirot. Adapun qirot itu ukuran pahala yang sama besar dengan bukit uhud."
Hadis Nabi s.a.w. itu sebagai perangsang kepada kita agar mengiringi jenazah ke perkuburan setiap kali ada kematian. Sekecil mana sekalipun pahala amat berharga di akhirat kelak. Apatah lagi pahala itu sebesar bukit uhud. Jika kita tidak berselera maka habislah ikhtiar dari sudut agama. 


Sebahagian daripada tanggungjawab orang islam ialah ziarah kubur orang yang dikenali atau tidak asalkan dia orang islam. Ada 3 tujuan ziarah kubur


  1. Untuk mendoakan kesejahteraan, kerana setiap ahli kubur amat mengharapkan bantuan doa orang yang masih hidup, sebagaimana orang yang lemas di lautan memerlukan pertolongan orang di daratan.
  2. Mengambil iktibar daripada kematiannya samada insan salih atau sebaliknya, ketika hidup dapat bertemu dengannya. Setiap manusia mati tidak tahu akan nasibnya di akhirat, sekiranya tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT.
  3. Untuk melembutkan hati dengan mengingati mati(zikrul maut), tidak menyerap nasihat agama ke hati yang keras. Amat malang jika ditimpa bala dalam hati yang keras. Kerana hati yang keras itu lebih keras dari batu pejal, sedangkan batu boleh lekuk dengan titisan air yang berterusan.
Sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud,''Aku tidak pernah melihat satu pandangan yang mencemaskan kecuali kubur yang amat menginsafkan.'' Permukaannya dikenali dengan kubur tempat jenazah disemadikan, tetapi alam persemadian itu dikenali dengan ''alam barzakh'' Terlalu banyak peristiwa dan tragedi mengerikan di dalam kubur, hanya dapat dilihat dan difahami dengan pandangan mata hati yang beriman.


Kubur meskipun kelihatan damai dan hening dipermukaannya, namun alam barzakh penuh pelbagai situasi nikmat bagai halaman syurga, atau azab sengsara bagai terowong daripada neraka. Nabi s.a.w. melihat kubur sebagai alam barzakh yang nyata, penuh pelbagai peristiwa cemas menginsafkan, dengan rintihan jiwa sengsara, balasan di atas segala kemaksiatan yang dilakukan. 


Panorama itu daripada pandangan seorang utusan Allah SWT, yang jarang ada pada manusia lain, kecuali insan beriman dan berilmu.
Hatim al-ashom berkata yang bermaksud, ''Sesiapa yang lalu di pinggir kuburan, dalam situasi yang tidak terdetik suatupun dalam fikirannya serta tidak mendoakan ahli kubur, orang itu telah khianat terhadap seluruh ahli kubur tersebut dan khianat terhadap diri sendiri." Ertinya, apabila terlihat kubur, hendaklah hati terasa sesuatu mengenai nasib yang bakal dihadapi setelah mati kelak. Adakah seperti di halaman syurga atau bagaikan terowong neraka yang dahsyat.


Sekurangnya dapat mendatangkan keinsafan dengan mengingati mati. Berdoalah sebagai jasa kita yang hidup kepada yang mati. Doa yang afdal ketika menziarahi kubur, ialah mohon agar Allah SWT mengampuni dosanya. Minta diganti dosa maksiatnya dengan pahala kebajikan, mohon di hindari daripada api neraka dan memasukkannya dalam syurga. Penziarah mampu melakukan doa tetapi mengabaikannya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...