Thursday, January 27, 2011

GABENOR YANG FAKIR



Khalifah Umar bin al-Khatab r.a telah mengangkat seorang soleh bernama Said bin umair sebagai gabenor di kota Hams, Syiria. Tidak lama selepas itu, datanglah utusan penduduk kota Hams kepada Khalifah Umar yang terkenal adil dan menyayangi rakyatnya. Khalifah Umar telah bertitah kepada mereka, "Tuliskan nama-nama orang miskin di daerah kalian untuk aku memberikan bantuan dari harta baitulmal''.
Mereka pun segera menulis nama-nama orang fakir dan miskin. Dalam senarai itu, ada nama Said bin Umair. Umar terperanjat, ketika itu juga beliau bertanya untuk menyelidik, ''Siapa Said bin Umair ini?''


Utusan itu menjawab, ''Gabenor kami''.


Dengan kehairanan Umar membalas,''Gabenor kamu itu fakir?''


Utusan itu menjawab, ''Ya benar. Demi Allah! Sudah berhari-hari dapur rumahnya tidak berasap. Tidak ada makanan untuk dimasak''


Mendengar berita itu, Khalifah Umar menangis, Kemudian memasukkan seribu dinar ke dalam bungkusan dan berkata, ''Berikan ini kepadanya untuk kehidupannya''.


Utusan itu kembali ke kotanya. Lalu diserahkan bingkusan itu kepada Gabenornya. Seketika itu, dia melafazkan, ''inna lillahi wa inna ilaihi raji'un..inna lillahi wa inna ilaihi raji'un...''. Gabenor ini melafazkan seakan-akan ditimpa masalah besar. Isterinya terdengar kata-kata bernada sedih itu lalu bertanya, ''Ada apakah? Apakah yang terjadi? Apakah hal yang terjadi ke atas amirul Mukminin?''


Said berkata, ''Lebih dari itu. Sekarang aku di datangi keduniaan yang hendak merosakkan akhiratku''.


Isterinya menjawab, ''Lenyapkan saja dunia itu.'' Sementara itu, dia tidak tahu sama sekali tentang seribu dinar itu.


Said berkata, ''Isteriku, sudikah kau akan membantuku melenyapkannya?''


Isterinya menjawab, ''Ya.''


Tanpa menunggu masa yang lama, mereka mengagihkan seribu dinar tadi kepada fakir miskin yang berada di dalam kota Hams. Beberapa bulan kemudian, Amirul Mukminun telah melawat kota Hams untuk mengetahui keadaan rakyatnya. Dia menemui penduduknya dan bertanyakan apa yang dilakukan gabenor mereka, Said bin umair. Para penduduk menyampaikan rasa terima kasih dan memuji kebaikan Said bin Umair. Namun, mereka mengadukan tiga hal yang tidak mereka sukai tentang gabenornya. Seketika itu, Umar telah memanggil Said supaya berdiri di hadapan rakyatnya untuk di adili. Lalu Umar berkata kepada mereka, ''Apakah yang kamu tidak puas hati akan gabenor kamu? Katakanlah! ''




Mereka menjawab, ''Dia sering lewat keluar dari rumah untuk menemui rakyatnya. Biasanya dia akan menemui kami ketika hari sudah tengahari.''


Amirul Mukminin Umar memandang Said bin Umair dan memintanya menjawab keluhan rakyatnya. Said pun berkata, ''Demi Allah! Sesungguhnya aku tidak suka membuka masalah ini. Keluargaku tidak mempunyai pembantu. Aku membantu mereka membuat adunan roti. Lalu aku menunggunya sehingga masak dan menyiapkan sarapan. Setelah itu aku berwuduk, dan keluar bekerja menemui rakyat.''


Umar kemudian berkata, ''Apalagi yang kamu tidak puashati terhadapnya?''


Mereka berkata, ''Pada waktu malam dia tidak mahu membuka pintu rumahnya untuk sesiapa pun.''


Said menjawab, ''Demi Allah! Sebenarnya aku tidak suka menjelaskan hal ini juga. Aku telah membahagikan waktuku. Waktu siang untuk orang ramai(rakyat) dan waktu malam sepenuhnya untuk beribadat kepada Allah Azza Wa Jalla.''




Umar kembali berkata, ''Apakah lagi yang kamu tidak berpuashati dengan tindakannya?''


Mereka menjawab, ''Setiap bulan dia memiliki satu hari yang tidak boleh diganggu oleh sesiapa pun.''


Umar berkata, ''Apakah jawapanmu tentang hal itu, Said?''


Said menjawab, ''Aku tiada pembantu yang mencuci pakaianku. Dan aku juga tidak memiliki pakaian kecuali yang aku pakai ini. Pada hari itu, aku mencuci pakaianku dan aku tunggu sehingga kering. Sehingga itu aku tidak dapat menemui mereka. Aku menemui mereka setelah pakaianku kering dan kebiasaanya ketika hari telah petang.''


Seketika itu Umar berkata, ''Segala puji bagi Allah yang tidak mengecewakan sangkaan baikku padamu.''





1 comment:

matahati said...

Kekayaan hanya milik Allah.
Berkorban apa sahaja,
Harta mahupun masa,
Demi mencari redha Allah semata.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...