Thursday, January 6, 2011

50 TIP SUAMI MITHALI

Isteri mana yg tidak mendambakan suami yg baik? Malah lelaki mana pula yg tidak pernah berangan-angan mahu menjadi suami yg terbaik kepada isteri? Menjadi suami mithali atau suami contoh bukanlah cakap kosong semata-mata. Para isteri juga ada peranan untuk menggalakkan suaminya mejadi suami mithali. Bagaimana caranya? Ahli motivasi terkenal, Datuk Dr. Mohd Fadzillah Kamsah ada petuanya;




1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik.
Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yg cemerlang. Ramai suami yg terlupa akan hal itu.


2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup.
Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yg Tuhan tentukan untuk anda.


3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri.
Cuba tanya diri sendiri, apakah sifat atau amalan yg boleh dibanggakan oleh isteri.


4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat.
Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun.


5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari.
Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suaminya.


6. Telefon isteri ataupun hantar SMS/MMS.
Sekadar untuk menyatakan anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri akan berasa seronok dan bahagia apabila menerimanya.


7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, lawak atau gurauan mesra.
Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.


8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana-mana sahaja.


9. Amalkan makan bersama setiap hari.
Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayah Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara melalaikan.


10. Ajak isteri mandi bersama sekali-sekala.
Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunnah yg dapat mengeratkan hubungan suami isteri.


11. Bantu isteri melakukan kerja rumah.
Ini adalah sunnah yg dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan anda.


12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yg mungkin.
Amalan bermesyuarat mengundang hidayah Tuhan, mengeratkan hubungan dan dapat menyelesaikan banyak masalah.


13. Pastikan penampilan anda menarik, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria.
Ramai suami inginkan isteri yg mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri!


14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah.
Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yg cemerlang. Elakkan cakap tak serupa bikin.


15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami.
Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yg kedekut dan berkira, ini menyebabkan isteri derita dan rumahtangga terancam.


16. Jadilah penawar hati kepada isteri.
Ambil berat keperluan dan kemahuan serta peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri bahagia membentuk keluarga sejahtera.


17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan seisi keluarga juga patuh kepada Tuhan.


18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri.
Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Sikap seumpama ini wajib dihentikan.


19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri.
Ada suami yg membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami memusuhi keluarga isteri.


20. Bentuk sifat cemburu yg positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah.
Suami yg tidak cemburu adalah dayus! Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu, membuatkan dirinya rasa dihargai.


21. Jadilah suami yg pemaaf.
Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumahtangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga


22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang.
Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara teguran yg kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.


23. Gunakan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai model.
Hidupkan amalan sunnah dalam rumahtangga. Sebut nama Rasulullah apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.


24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain.
Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yg melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakkan kesilapan ini.


25. Suruh isteri dirikan solat dan ibadah lain.
Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan waktu sembahyang. Wasiatkan isteri untuk solat fardhu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.


26. Cintai i steri sepenuh hati.
Cintainya tanpa bersyarat, cinta bertambah mengikut usia, penuh maaf, memberi tenaga, tidak pernah sengsara serta berteraskan iman dan taqwa.


27. Sentiasa berubah secara positif.
Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri sendiri terlebih dahulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah.


28. Pamer keprihatinan yg tinggi terhadap keluarga.
Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka di mana hanya menyerahkan tugas menguruskan rumahtangga bulat-bulat kepada isteri.


29. Pamer kematangan yg tinggi.
Orang yg matang, tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.


30. Memuliakan semua wanita bukan sekadar iserinya.
Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yg kecewa terhadap suami yg menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.


31. Bentuk beberapa sifat wanita yg terpilih dalam diri suami.
Nabi Muhammad s.a.w. amat pemalu, pemaaf, peka, endah dan mudah menangis. Sifat wanita yg ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan menjadikan mereka lebih disayangi wanita.


32. Mahir dalam menguruskan keluarga.
Peka dengan masalah dan kerenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yg optimum.


33. Memperbaiki diri secara berterusan.
Tingkatkan iman dan taqwa, suci hati dengan sembahyang taubat, istighfar, memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yg baik, pendapatan yg berkat dan baiki amalan dan tindakan.


34. Jadi model atau contoh terbaik untuk keluarga.
Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga.


35. Jadikan diri anda pendorong dan ahli motivasi berkesan untuk keluarga.
Sentiasa berikan galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.


36. Tingkatkan ilmu berkenaan agama.
Lazimnya, suami yg mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlah ilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.


37. Sentiasa menegakkan kebenaran.
Tegas menyatakan apa yg buruk dan apa yg baik. Elak mengetepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.


38. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi.
Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Terlalu tegas akan menyebabkan orang lain memberontak, jika terlalu lembut sangat buat orang mudah pijak kepala.


39. Latih diri memuji dan menghargai isteri.
Ramai suami yg pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia rasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.


40. Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, beri sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.


41. Fahami bahawa isteri ingin selalu berada di sisi suami.
Suami pula ada ketikanya ingin berjauhan dengan isteri sekali-sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel untuk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.


42. Bentuk kerjasama yg mantap dengan isteri.
Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.


43. Nilai diri daripada kaca mata isteri.
Buat sifat dan amalan yg isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yg isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.


44. Apabila suami melayan isteri seperti dia melayan seorang kawan, pasti isteri rasa bahagia.
Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangilah layanan itu sekarang.


45. Suami wajar belajar untuk menjadi seoang pengikut setia.
Patuhi cadangan, pandangan dan pendapat isteri yg betul. Jangan bangkang perkara yg baik.


46. Buat undang-undang dalam rumahtangga.
Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah, suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada suami isteri bergaduh. Biasanya orang tidak boleh bergaduh sendirian.


47. Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri.
Serasikan gerak batin denga berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.


48. Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang.
Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.


49. Seimbangkan hidup dengan sempurna.
Rajin di tempat kerja, rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Sabar di pejabat dengan bos atau rakan sekerja, sabar juga di rumah dengan pe'el anak-anak dan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin jugalah ketika di rumah. Rumahku, syurgaku!

50. Urus stres dengan bijak.
Perlu tahu teknik mengurangkan stres, belai haiwan kesayangn, beriadhah bersama, bermain dengan bayi, lihat ikan di akuarium, solat taubat, zikir dan membaca Quran. Kita perlu mengawal emosi, bukannya tindakan kita menurut emosi.

Inilah rahsia untuk menjadi suami mithali. Haa ini juga boleh dijadikan realiti!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...