Saturday, January 15, 2011

BAKHILNYA MANUSIA DALAM PEMURAH ALLAH

   
Setengah dari kita mungkin mampu hidup bersenang lenang, hidup dalam kemewahan, tidur dengan penuh keselesaan yang mungkin mampu merungkai beribu mimpi indah di setiap malam.

    Setengah jua dari kita mungkin hanya terasa seluruh hidupnya satu kesempitan, beribu malahan berjuta kepayahan menanti di setiap pertiga malam kerana mengenangkan hidup yang serba kekurangan.
 

"Kenapa Allah itu memberi aku nikmat sebegini ??? Menjadikan setiap hidupku penuh dengan kesenangan, kegembiraan dan jua ketenangan"

   Bila direnung kembali, sangat sedikit kata-kata ini terkeluar dari bibir insan yang biasa dalam kesenangan.

   Tapi terlalu banyak keluhan yang kita dengari, kita perhati, yang terkadang diri sendiri yang menuturkannya tidak di zahir mungkin di dalam hati.

"Kenapa Allah tak beri aku itu dan ini?? Kenapa Allah tidak beri aku kesenangan seperti sahabatku yang lain?? Kenapa dijadikan hidup aku penuh kesulitan??"    



Suatu fenomena yang manusia itu sering lupa. Diciptakan tiap kesenangan mahupun kesusahan itu ada hikmah disebaliknya. Pada kesenangan itu perlulah bersama difahami bahawa ia mungkin diiringi dua perkara.

 1. Satu balasan baik yang diberi Allah untuk seseorang sebagai tanda luasnya rahmatNya.

 2.Satu titik tolak yang diberikan Allah untuk menyesatkannya atas kealpaan dan perbuatannya.

   Di sini mungkin ramai yang bertanya, mengapa Allah tidak timpakan terus kesusahan pada yang ingkar padaNya? Kan itu akan membuatkannya lebih terseksa dan hidup dalam kepayahan?

Jawapan yang paling jelas untuk disimpulkan ialah berdasarkan Surah Ar-Rahman.

Tatkala Allah memberi segala keperluan kepada seseorang, kesenangan, nikmat melihat, mendengar, memberi makan dan minum yang lebih dari mencukupi yang terkadang membuat manusia itu melupakanNya lama kelamaan. 



Hari makin hari mungkin dirinya akan lebih sibuk mengejar dunianya, makin dikejar makin terasa banyak lagi yang tertinggal. Makin dikejar makin terasa keasyikannya. 

Dan tatkala duniawi memenuhi hati, tiadalah tempat bagi Allah dalam dirinya.

Dan akan timbul dalam hati seseorang itu yang dia bisa untuk hidup atas qudratnya sendiri dengan melupakan siapa yang mengurniakan semua itu padanya. Meninggalkan segala yang diperintahkan Khaliqnya seakan diri begitu berkuasa.

Di hentian terakhir, pabila dijemput mengadap Tuhannya, maka tertunduklah kepalanya, merasa kesal atas segala nikmat yang dilupakannya apatah lagi mengsyukurinya.

Pada waktu itu, maka tiadalah alasan bahawa Allah itu tidak memberi ia itu dan ini, tidak memberi kekayaan, kesenangan untuk dia taat akan Allah dan mengsyukurinya.

Kerana di dunia segala keperluan dicukupkan padanya yang sedikit pun Allah tak menguranginya.

Tertunduklah golongan ini meratapinya yang mungkin  berharap untuk dikembalikan semula ke dunia.

Maka dalam surah Ar-Rahman menyebutkan berkali-kali....

"Maka NIKMAT Tuhan kamu yang manakah kamu hendak dustakan???"

Segalanya jelas bahawa segala kesenangan dunia bukanlah menjamin kita di akhirat dan mungkin orang yang ditimpakan Allah kemiskinan dan kepapaan itu lebih mulia dari golongan ini.



Marilah bersama kita bertanya pada diri kita ini, sebanyak mana syukurnya kita atas nikmat yang dikurniakan Allah pada kita...ataupun dengan nikmat itu kita ingkar padanya...?

Sesungguhnya diri lebih mengetahui tetapi gelapnya hati menutupi segalanya.
Marilah bersama merenung kiasah ini moga menjadi pengajaran buat kita...

   Alkisah disebutkan bahawa di kota Array terdapat Qadhi yang kaya-raya. Suatu hari kebetulan hari Asyura' datanglah seorang miskin meminta sedekah. Berkatalah si miskin tadi, 

"Wahai tuan Qadhi, adalah saya seorang miskin yang mempunyai tanggungan keluarga. Demi kehormatan dan kemuliaan hari ini, saya meminta pertolongan daripada tuan, maka berilah saya sedekah sekadarnya berupa sepuluh keping roti, lima potong daging dan duit dua dirham." 

Qadhi menjawab, 

"Datanglah selepas waktu zohor!"

   Selepas sembahyang zohor orang miskin itu pun datang demi memenuhi janjinya. Sayangnya si Qadhi kaya itu tidak menepati janjinya dan menyuruh si miskin datang lagi selepas sembahyang Asar. 

   Apabila dia datang selepas waktu yang dijanjikan untuk kali keduanya itu, ternyata si Qadhi tidak memberikan apa-apa. Maka beredarlah si miskin dari rumah si Qadhi dengan penuh kecewa. Di waktu si miskin jalan mencari-cari, ia melintas di depan seorang kristian sedang duduk-duduk di hadapan rumahnya. 

Kepada orang Kristian itu si miskin minta sedekah,

 "Tuan, demi keagungan dan kebesaran hari ini berilah saya sedekah untuk menyara keluarga saya."
 
Si Kristian bertanya, 

"Hari apakah hari ini?"
 "Hari ini hari Asyura", 

kata si miskin, sambil menerangkan keutamaan dan kisah-kisah hari Asyura'. Rupanya orang Kristian itu sangat tertarik mendengar cerita si peminta sedekah dan hatinya berkenan untuk memberi sedekah. 

Berkata si Kristian, 

"Katakan apa hajatmu padaku!" 

Berkata si peminta sedekah, 

"Saya memerlukan sepuluh keping roti, lima ketul daging dan wang dua dirham sahaja." 

Dengan segera ia memberi si peminta sedekah semua keperluan yang dimintanya. Si peminta sedekah pun balik dengan gembira kepada keluarganya. Adapun Qadhi yang kedekut telah bermimpi di dalam tidurnya.

 "Angkat kepalamu !" 

kata suara dalam mimpinya. Sebaik sahaja ia mengangkat kepala, tiba-tiba tersergam di hadapan matanya dua buah bangunan yang cantik. Sebuah bangunan diperbuat dari batu-bata bersalut emas dan sebuah lagi diperbuat daripada yaqut yang berkilau-kilauan warnanya. 

Ia bertanya, "Ya Tuhan, untuk siapa bangunan yang sangat cantik ini?" 

Terdengar jawapan, 
"Semua bangunan ini adalah untuk kamu andaikan sahaja kamu mahu memenuhi hajat si peminta sedekah itu. Kini bangunan itu dimiliki oleh seorang Kristian." 
Apabila Qadhi bangun dari tidurnya,iapun pergi kepada Kristian yang dimaksudkan dalam mimpinya. Qadhi bertanya kepada si Kristian, 
"Amal apakah gerangan yang kau buat semalam hingga kau dapat pahala dua buah bangunan yang sangat cantik?"
Orang Kristian itu pun menceritakan tentang amal yang diperbuatnya bahawa ia telah bersedekah kepada fakir miskin yang memerlukannya pada hari Asyura' itu.
Kata Qadhi,

"Juallah amal itu kepadaku dengan harga seratus ribu dirham."

Kata si Kristian, 

"Ketahuilah wahai Qadhi, sesungguhnya amal baik yang diterima oleh Allah tidak dapat diperjual-belikan sekalipun dengan harga bumi serta seisinya." 

Kata Qadhi,

"Mengapa anda begitu kedekut, sedangkan anda bukan seorang Islam?"

   Ketika itu juga orang Kristian itu membuang tanda salibnya dan mengucapkan dua kalimah syahadat serta mengakui kebenaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Bakhilnya manusia didalam pemurahnya Allah...bersamalah kita merenungnya.

1 comment:

Anonymous said...

Bgus2...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...